Thursday, February 5, 2015

Cinta Pandang Pertama Zaman Sekolah (Episod 1)

Assalamualaikum :) Kali ni Ash nak cerita pasal kisah cinta boleh? haha.. Well, mostly kalau remaja lebih kurg sebaya Ash suka aje an baca cerita2 mcm gini.. So, here we go~ :D and cerita ni merupakan flashback kisah cinta hidup Ash masa zaman sekolah dulu.. Tapi kali ni kita buat ala2 novel gitu, okay.. :D Hope korg enjoy, maybe? XD

Kisahnya bermula . . .


Tepat pada pukul 5.30 pagi, alarm handphoneku berbunyi dengan begitu kuat sekali memecahkan suasana sunyi pada waktu pagi. Aku terbangun lalu aku letakkan alarm tersebut pada mod snooze dan kemudian aku sambung tidur untuk menikmati mimpi yang tertunda dek kerana alarm yang berbunyi tadi. Setiap lima minit selepas itu, alarm akan berbunyi dan aku akan masih setkan mod snooze sehinggalah aku sedar jam sudah tepat pada pukul 6.00 pagi. Begitulah rutin harianku yang cuba untuk bangun awal pada setiap pagi tetapi tidak berjaya.

Setelah sedar daripada mimpi yang tiada penghujungnya dan gangguan daripada alarm yang telah aku setkan, aku lantas bangun lalu mengambil sehelai kain tuala dan terus meluru masuk ke dalam bilik air untuk mandi. Air baldi yang begitu sejuk kerana embun, aku curahkan ke seluruh tubuhku sehingga menggigil tak sudah aku jadinya sehinggalah aku selesai mandi. Selepas mandi, aku lapkan tubuh badanku sehingga kering lalu menyarungkan uniform sekolahku. Melihat diriku ke dalam cermin, aku tertawa sinis sambil berkata di dalam hati, "Wahhh, boleh tahan hensem juga aku ni sebenarnya kan?". Aku sedar walaupun aku ini ibarat masuk bakul angkat sendiri, tapi siapa lagi nak puji diri kita kalau bukan diri kita sendiri? Tidak lama kemudian, aku terdengar suara ibuku memanggil daripada dapur, aku sudah faham, mesti sarapan untukku telah sedia dihidangkan olehnya. Lalu aku turun ke bawah dan duduk di meja makan untuk menikmati sarapan pagi yang disediakan dengan penuh kasih sayang oleh ibuku.

Selesai sarapan, aku salam dan mencium tangan ibuku sebelum aku pergi ke sekolah. Ibuku juga berpesan kepadaku, "Pergi sekolah belajar rajin-rajin tau?". Itulah kata-kata yang dilontarkan olehnya setiap pagi sebelum aku keluar rumah. Aku juga seperti biasa akan angguk sahaja tanda faham dan terus menuju ke sekolah.

Setiap pagi, pintu sekolahku penuh dengan kesesakan oleh bas dan van sekolah, motosikal para pelajar yang tak henti-henti lalu, dan kereta daripada ibu bapa pelajar yang menghantar anak mereka ke sekolah. Setelah turun daripada motosikalku, aku berjalan sambil memerhatikan para pelajar yang masuk ke dalam pintu sekolah. Sampai sahaja di pintu masuk, seperti biasa aku akan senyum pada cikgu kaunseling yang menjaga pintu tersebut untuk memastikan para pelajar sentiasa berpakaian kemas mengikut peraturan sekolah dan mendenda pelajar yang datang lewat ke sekolah. Tetapi sekiranya cikgu disiplin menjaga pintu pada hari itu, aku akan menundukkan kepala sahaja dan berjalan seolah-olah cikgu disiplin itu tidak wujud. Kenapa? Sebab aku merupakan seorang pelajar wanted dan mempunyai banyak masalah disiplin. Bukan masalah disiplin sangat pun, pada pendapatku. Semuanya masalah disiplin berkaitan tak datang sekolah, tak siap homework, tak hantar homework, datang lambat ke sekolah, and rambut panjang. Maklumlah, daripada sekolah rendah memang jarang buat homework, setakat kena rotan dan didenda berdiri atas kerusi tu pun apalah sangat. Alah bisa tegal biasa. Tu yang terbawa-bawa sampai sekolah menengah.

Macam biasa, aku berjalan ke arah di mana tempat beratur para pelajar 4SN3, iaitu kelasku di tapak perhimpunan. Disebabkan aku seorang yang pendiam, aku duduk beratur dengan pelajar yang lain tanpa bertegur sapa dengan sesiapa pun. Aku melihat rakan-rakan kelasku sibuk bertanyakan mengenai kerja sekolah sesama mereka. Itulah kerja mereka setiap pagi. Ada juga yang khusyuk menyelesaikan kerja sekolah mereka yang lupa untuk diselesaikan manakala aku hanya buat endah tak endah sahaja aktiviti mereka itu. Mereka juga tidak bertanyakan aku mengenai kerja sekolahku kerana mereka tahu aku seorang yang pemalas untuk penyelesaikan sebarang kerja sekolahku. Jika ada sekalipun, setelah dimarah oleh cikgu barulah aku selesaikannya ibarat pahat dengan penukul bila diketuk baru berjalan.

Pada hari itu, aku sibuk mengelamun seorang diri, tiba-tiba ku terlihat seorang gadis daripada kelas yang beratur di hadapan kelasku. Mataku tertumpu padanya yang sedang tertawa dengan senyumannya yang begitu manis bersama rakan-rakan kelasnya. Tetapi aku tidak peduli pun tentang rakan-rakannya walaupun mereka juga ada rupa paras yang boleh tahan, apa yang aku lihat hanyalah dia. Ku berfikir sejenak, "Kenapa dengan aku ni? Kenapa aku tengok dia ni macam comel semacam je ni? Aku dah jatuh hati kat dia?". Aku cuba abaikan perasaan ini dan menganggap sahaja seolah-olah tiada apa yang berlaku lantas terus mengalihkan pandanganku pada cikgu disiplin yang sedang bercakap di tapak perhimpunan pada ketika itu.

Semenjak hari itu, aku sering terfikirkan tentang dia. Pada setiap pagi, pasti aku akan curi-curi lihat dia. Aku sentiasa tersenyum sendirian ketika melihat dia kerana dia seorang yang ceria. Boleh dikatakan setiap pagi aku berpeluang melihat senyuman dia. Aku harap sangat aku dapat berkawan dengan dia, tapi aku tak tahu dari mana aku perlu mula. Sejujurnya, aku memang terkenal dengan sifatku yang pendiam dan pemalu tetapi berbisa apabila berbicara. Kenapa berbisa? Sebab aku digelar sweet talker. Dengan rupa paras yang agak kacak, aku menjadi bahan bualan beberapa golongan pelajar perempuan di sekolahku. Bahkan juga, aku turut menjadi crush kepada beberapa orang pelajar perempuan yang pernah ada di antara mereka yang meminta couple daripadaku dan ada juga di antara mereka yang meluahkan perasaan mereka padaku melalui laman sosial iaitu facebook dan wechat. Oleh kerana sifat pemaluku, aku buat tak tahu sahaja, tapi jika mereka berjaya menarik hati aku dan berkawan denganku, mulalah keluarnya ayat-ayat manis daripadaku yang membuatkan mereka semakin suka kepadaku.

Walaupun begitu, aku tetap berstatus single. Bukan kerana aku tidak minat, tetapi sebab malas nak layan kata-kata yang diluahkan oleh mereka yang membuatkan aku rasa rimas dan lama-lama menyebabkan rasa minatku pada mereka semakin lama semakin pudar. Akhirnya, mereka semua hanya seorang kawan pada mata aku. Berbalik pada gadis yang aku jatuh hati tempoh hari, aku masih setia menantinya yang menyebabkan aku lebih 'menjual mahal' terhadap pelajar perempuan yang lain. Yang peliknya, disebabkan aku 'menjual mahal' sebab itu jugalah makin ramai perempuan yang tertarik padaku. Walaubagaimanapun, aku tetap mencuba untuk mengenal siapa rakan-rakan pada gadis yang aku jatuh hati itu, aku tanyakan mengenai mereka kepada rakan-rakan kelasku tapi malangnya tak seorang pun yang mengenal salah seorang daripada mereka. Mungkin juga masalah jurang perbezaan umur kami yang menyebabkan semakin susah untuk mengenali mereka. Betul tu, mereka berada di tingkatan tiga manakala aku di tingkatan empat. Jadi sukar untuk kami para pelajar yang digelar senior tahun ini untuk mengenali junior yang dahulunya pelajar petang kini digelar pelajar pagi. Kalau mahu kenal sekalipun, pasti akan mengambil masa. Namun, aku tidak berputus asa dan terus menantinya dan berharap kita pasti akan bertemu.

Bersambung . . .

Maaflah kalau cerita ni tak menarik .. >_< Ash dah cuba untuk buat semenarik yang mungkin.. And btw, ni berdasarkan pengalaman hidup Ash tau, jadi boleh dikatakan cerita ni kisah benar.. Maaflah kalau ada sifat riak, bangga diri, or masuk bakul angkat sendiri, tu semua sbb nak bagi cerita ni menarik dan itulah juga yg Ash fikir pada masa tu.. Tipulah kan kalau korg tak pernah bangga diri? :P haha okay.. Semoga jumpa lagi di entri yang seterusnya.. Sambungannya bukan esok, atau lusa tau? Maybe minggu depan sbb nak buat cerita ni ala2 drama sikit.. hee~ ^_^ So, stay tuned okay? ^_^


No comments:

Post a Comment